Isnin, 5 Oktober 2009

MASIHKAH KITA DENGAN KATA-KATA

MASIHKAH KITA DENGAN KATA-KATA

Mereka berpesta di bawah langit merah
meratah seperti serigala
membaham seperti harimau pemangsa
mengoyak seperti singa raksasa
menghirup rakus darah mencurah
menyiang lumat daging
dari tulang-tulang terkapar
dengan taring pengganas
bernama Amerika.

Lantas kanak-kanak dan wanita menjadi korban
ketika ratusan bangunan menjadi sasaran
bedilan Zionis
lalu musnah sekelip mata
nikmat kehidupan
meranap sebuah ketamadunan
mencabar sebuah kedaulatan
dan dunia hanya mampu bersimpati
sementara OIC dengan mesyuarat dan deklarasi
manakala PBB di manakah bersembunyi?

Segalanya telah berkecai
seperti berkecainya jasad kanak-kanak dan wanita
ditimbuni runtuhan tempat berlindung
yang tinggal meratap hiba
ke pusara mana pula
peluang menyelamatkan diri
kerana jutaan petir peluru
akan terus mencurah hujan darah.

Justeru masihkah kita
hanya mampu bermain warna kata
dan melihat dari jendela suara
mereka memuntahkan peluru
restu Amerika
yang entah ke mana pula
akan di hala!

ABD RAHIM OMAR
Angkatan Sasterawan Nasional Kedah
Sungai Petani, 31 Julai 2006.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan