Khamis, 7 Oktober 2010

USIA

Ia bak arus mengalir
membawa bersama daun-daun gugur
dari ranting-ranting debar
dan dahan-dahan gelisah.

Ia bak arus mengalir
membawa bersama mual lumpur
dari gelombang hujan malam
yang mencurah basah maruah.

Ia bak arus mengalir
merentas perbukitan flora dan jeram
tidak terdaya disekat derasnya
sehingga terdampar di muara keinsafan.

Seharusnya ia bak arus mengalir
membawa bersama kedinginan tawaduk
dari kejernihan sungai iman
menakungi keheningan tasik takwa.

ABD. RAHIM OMAR
Harian Metro 20 Julai 2010

BALAK

Saban hari kita berbangga
kerana hasilnya menjadi komoditi
kekuatan dan bermutu tinggi
mangangkat bumbung kemakmuran
mengukuh lantai kemajuan
menegak tiang kesejahteraan
menjulang tugu kemegahan
malah tidak kurang juga
yang menyaluti kantung kemewahan.

Saban hari pula
mereka ghairah meneroka
dengan taring kerakusan
juga belati ketamakan
menuai rimbunan mutiara pergunungan
yang memayungi flora dan fauna
tanpa menyemai benih untuk diwariskan
sehingga kita akan kehilangan
jambangan sebuah peta warisan.

Maka saban hari juga
atas tiket konsesi haloba
mereka menjual banjaran amanah
memancung relung tersisa
meragut kedinginan embun perbukitan
meninggal ranting-ranting petaka
menjadi unggun membakar sengsara
sehingga sungai tidak mampu mengalir arusnya!

ABD. RAHIM OMAR
Harian Metro 28 September 2010